Friday, March 26, 2010

Rita kurang ajar dengan 'suami'!

HIDUP sebagai artis sering dipandang bermandikan kemewahan dan limpahan populariti. Sama ada pelakon atau penyanyi, mereka mampu meraih pendapatan lumayan dalam tempoh masa singkat.




BERPASANGAN...Rita dan Eman berganding sebagai suami isteri menerusi Tiupan Sangkakala.






sebelum - selepas



Bagi pelakon jelita, Rita Rudaini, semua itu tidak lagi menguasai diri apabila sudah menjadi ibu dan isteri. Jika sebelum ini, dia banyak menghabiskan masa hanya bekerja siang dan malam, sebaliknya kini dia menggalas dua tanggungjawab berbeza.

Di sebalik kesibukan di lokasi penggambaran, Rita akui perlu membahagikan masa bersama keluarga di rumah. Rita sebelum ini mengejutkan ramai peminat apabila mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap dengan pemain bola sepak Kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak pada 25 Februari 2008.

Dalam pertemuan di lokasi penggambaran drama Tiupan Sangkakala di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Rita berkata kehidupannya tambah bahagia apatah lagi melihat ragam anak sulung, Airit Rayyan Rizqin (lahir pada 8 Julai lalu) makin membesar.


Rita berkata, dia sering meluangkan masa bersama suami dan anak apabila tidak terbabit dengan penggambaran. Menariknya, ketika di lokasi Rita juga kadangkala dikunjungi suami yang sempat menghantar makanan dan melihat sendiri bagaimana dia berlakon.

"Saya tidak kisah suami datang ke lokasi. Sekurang-kurangnya dia tahu bagaimana saya bekerja dan secara tidak langsung memberi saya semangat.


"Namun, ada ketika tidak dinafikan dia juga cemburu melihat saya berlakon dengan pelakon lelaki. Selalunya apabila watak saya bersama pelakon itu 'menjadi' dia hanya berdiam diri dan itu tandanya dia cemburu.

"Bagi saya, sama ada boleh atau tidak, dia harus terima kenyataan saya berlakon bersama pelakon lelaki. Sudah tentu menjadi pelakon, adegan berpegang tangan perkara biasa.

"Bagaimanapun, fokus saya pada lakonan tidak lagi seperti dulu. Selepas berkahwin, saya mengambil keputusan berehat selama seminggu atau dua minggu selepas selesai satu-satu penggambaran," katanya.

Mengenai Airit, Rita mengambil keputusan meletakkan anaknya itu di bawah jagaan ibunya bagi memudahkan dia keluar bekerja. Namun, naluri sebagai ibu masih kuat hingga mendorong Rita sanggup balik ke kampung di Perlis menjenguk Airit dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Biarpun berstatus isteri dan ibu, Rita berkata dia bagaikan tidak percaya masih mendapat tawaran berlakon. Malah, dia bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan produser dan pengarah untuk membawakan watak utama.

Menerusi lakonan drama baru Tiupan Sangkakala arahan Heykal Hanifah yang masih menjalani penggambaran sekitar Shah Alam dan Hulu Langat, Rita digandingkan bersama aktor handalan, Eman Manan sebagai pasangan suami isteri.

Memberi tarikan, Rita berdepan cabaran melakonkan watak Arissa kerana perlu memainkan karakter antagonis terhadap Adi (lakonan Eman). Mengikut plot, Arissa isteri yang bersifat garang dan tidak menghormati suami.

"Saya tertarik dengan watak ini kerana saya jarang mendapat peluang menjadi antagonis. Seringkali penampilan saya cukup sinonim dengan watak gadis baik.

"Sebelum ini, saya juga pernah mendapat watak isteri curang menerusi drama Lillahitaala dan drama terbaru 13 episod yang baru selesai penggambaran, Jangan Bunuh Matahariku menyaksikan saya membawakan watak gadis buta.

"Tapi, pertama kali berlakon bersama Eman, perasaan saya bercampur, pada masa sama takut. Sebenarnya, dalam drama ini ada adegan yang memerlukan saya bersikap kurang ajar hingga sanggup tendang suami.

"Sebelum ini, saya pernah menyaksikan lakonan Eman dan ada rakan beritahu, dia pelakon serius. Sebelum tiba hari penggambaran, saya sampaikan termimpi-mimpi memikirkan bagaimana lakonan saya bersama Eman nanti.

"Pengarah ada cakap kepada saya supaya meletakkan muka orang paling saya benci pada Eman untuk memudahkan saya menghayati watak berkenaan.

"Nyata apabila kami berlakon bersama, saya melihat Eman sebenarnya banyak membantu menghayati watak dengan mendalam. Pada awal penggambaran, saya tidak berani bercakap dengan Eman tetapi lama-kelamaan kami dapat berlatih bersama," katanya.

Untuk watak Arissa, Rita menyatakan dia perlu meninggikan suara dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati terhadap 'suaminya' itu. Rita juga berasakan lakonannya turut dibantu pelakon berpengalaman lain seperti Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P Ramlee yang melakonkan watak ibu bapanya.

Di sebalik cabaran melakonkan watak Arissa, Rita berkata dia sudah bosan melakonkan karakter romantik. Bagaimanapun, dia masih tidak menolak tawaran karakter sedemikian sekiranya watak yang ditawarkan menarik perhatian.

"Saya bersyukur kerana mendapat pelbagai tawaran berlakon baru. Pada Oktober nanti, saya akan terbabit membintangi drama bersiri, Fantasia Bulan Madu yang menyaksikan saya sekali lagi bergandingan bersama Rosyam Nor sebagai pelakon utama.

"Perancangan selepas ini, saya hanya memberi fokus pada satu kerja dalam satu masa dan kemudian mengambil rehat yang panjang untuk menghabiskan masa bersama suami serta anak.

"Jika sebelum kahwin, saya kerja tanpa henti, tetapi selepas berkeluarga, saya perlu bijak membahagikan masa. Mungkin tahun depan saya ingin tambah anak," katanya.


PROFIL

NAMA: Rita Rudaini Mokhtar
NAMA KOMERSIAL: Rita Rudaini
ASAL: Kangar, Perlis
TARIKH LAHIR: 11 April 1976
USIA: 33 tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KERJAYA: Pelakon dan model
FILEM: Mendam Berahi, Mami Jarum, Mistik, Mami Jarum Junior, Makar dan Cinta
DRAMA: Cinta Gila, Tangisan Bulan Madu, Dulang Wan Cu, Kabus Dan Sinar, Teksi, G3, Delina, Skuad Elite, Kutub Utara Kutub Selatan, Rafflesia 1 dan II, Biar Kusentuh Cintamu, Norisha Mama Rock, Lillahitaala, Jangan Bunuh Matahariku dan Tiupan Sangkakala.

No comments:

Post a Comment