Monday, March 22, 2010

Wanita hamil terbunuh

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
2010/03/22




SERENDAH: Seorang wanita warga Sudan yang sarat mengandung maut selepas kereta dipandunya terperosok di bawah treler membawa cerucuk konkrit berhampiran sebuah stesen minyak di sini, malam kelmarin.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.45 malam itu mengakibatkan suami mangsa yang berusia 40-an parah dan tiga anak mereka di tempat duduk belakang parah manakala mangsa yang berusia 40-an mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Berikutan itu, mangsa tersepit menyebabkan anggota bomba terpaksa dipanggil manakala suami dan tiga anak mangsa dikeluarkan orang ramai.


Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat manakala suami dan tiga anak mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu treler terbabit yang berusia 40 tahun yang ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Serendah berkata, ketika kejadian dia baru selesai mengisi minyak di stesen minyak berkenaan dan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Bandar Country Home, Rawang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kejadian itu masih dalam siasatan dan polis terpaksa mengambil masa bagi mengenal pasti status kewarganegaraan mangsa memandangkan tiada sebarang dokumen ditemui pada mangsa.

Namun, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa adalah warga Sudan.

“Sehingga petang ini (semalam) Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) belum melakukan bedah siasat terhadap mayat ibu terbabit ekoran ketiadaan dokumen pengenalan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment